Wanita Semasa

Pujian serta-merta rangsang anak jadi lebih berdisiplin

Oleh Dr Norizam Mohd Alias

“ALONG jangan kacau adik! Berapa kali mak nak cakap!” Spontan Nor memarahi anak sulungnya yang berumur 10 tahun apabila mendengar tangisan anak bongsunya yang baru mencecah umur empat tahun.

Along terus berhenti daripada mengusik adiknya, lalu bermasam muka. Dia terus ke biliknya mengunci diri sambil merungut: “Apa yang Along buat semua salah!”

Nor mengeluh sendirian kerana terpaksa menghadapi keadaan sedemikian hampir setiap hari. Beliau benar-benar bingung. Di mana silapnya.

Nor tidak sendirian dalam menghadapi masalah ini. Di luar sana ramai lagi ibu bapa yang kebingungan menghadapi kerenah anak-anak dan mencari-cari jalan penyelesaiannya.

Sebagai ibu bapa kita amat perlu mempelajari kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak-anak. Semua ibu bapa berharap untuk mendapatkan anak yang apabila besar nanti mempunyai ciri murni seperti menjadi orang beriman, kasih kepada Allah, Rasulullah SAW, ibu bapa dan adik-beradiknya. Mereka juga mahukan anak yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental yang baik, bertanggungjawab, menghormati orang tua, jujur dan ikhlas serta mempunyai asas moral kukuh.

Salah satu kemahiran keibubapaan yang amat penting adalah kaedah memuji anak-anak. Sebenarnya, pujian akan merangsang dan menggalakkan tingkah laku yang dikehendaki. Contohnya rajin belajar, bersopan-santun, jujur dan ikhlas.

Ibu bapa perlu sedar bahawa tingkah laku yang baik tidak akan berubah serta-merta, tetapi memerlukan kesabaran, usaha yang berterusan dan terancang.

Tanpa disedari kita selalu bersikap tidak adil terhadap anak-anak. Apa tidaknya, kita memarahi mereka jika berkelakuan buruk. Tetapi, jarang memuji kebaikan dan kelebihan mereka.

Marilah kita sama-sama berusaha secara berterusan untuk sentiasa mencari ruang bagi mengiktiraf kebaikan mereka melalui pujian-pujian. Firman Allah bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat dan nasihat pengajaran yang baik, dan bahaskanlah mereka secara yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk. “ (Surah al-Nahl, ayat 125)

Persoalannya, bagaimana memberikan pengiktirafan atau pujian?

Rancang dan latih diri kita mengeluarkan perkataan pujian yang bersesuaian dan pelbagaikan.

Perhatikan perubahan tingkah laku anak terhadap pujian kita.

Pujian yang diberikan hendaklah ikhlas, ceria, lembut dan tepat ke atas setiap kebaikan yang dilakukannya.

Kajian menunjukkan bahawa pujian dan pengiktirafan itu lebih berkesan jika diberi serta-merta.

Contoh ungkapan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa.

# Apabila anak meminta sesuatu daripada ibubapa dengan baik.

Balas: “Sedap mak dengar Nuha cakap lembut-lembut dengan mak.”

# Apabila anak menyidai tuala mandinya, “Bagus anak mak, rajin sidai tuala. Mak bangga dapat anak macam ni”

# Apabila anak selesai menunaikan solat.

“Alhamdulillah salihnya anak mak.“

# Apabila anak selesai menggosok gigi.

“Suka hati mak tengok anak mak gosok gigi.”

# Apabila anak menyusun kasut.

“Terima kasih kerana menyusun kasut, mak suka tengok rumah kita kemas.”

Perkataan atau puji-pujian ini akan menjadi kebiasaan jika ibu bapa sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan seharian baik bersama keluarga, di tempat kerja atau di mana-mana saja.

Kita kena berani mencuba budaya memuji sehingga semua orang berasa selesa dengan tindakan memuji dan janggal untuk mengeluarkan perkataan berunsur kejian, kecaman dan marah.

Firman Allah bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali yang dianiayakan. Dan ingatlah Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nisa, ayat 148)

Perkataan buruk perlu ditinggalkan dalam memperbetulkan tingkah laku anak-anak supaya mereka merasakan keseronokan ketika menerima teguran. Ia juga memberi motivasi kepada mereka untuk menukarkan tingkah laku buruk kepada yang lebih baik.

Kaedah pengiktirafan dan pujian adalah salah satu kaedah dalam mendidik anak-anak. Banyak lagi aspek dan kaedah lain yang perlu diberi perhatian termasuk faktor persekitaran, umur serta perkembangan emosi dan mentalnya.

Ibu bapa mesti rajin dan bersungguh-sungguh melengkapkan dirinya dengan kemahiran keibubapaan dengan antaranya menghadiri kursus, pembacaan dan perbincangan.

Kita hanya merancang, berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah untuk kebaikan anak-anak. Semoga Allah memberkati usaha kita.

INTI PATI
Keibubapaan cemerlang

# Mampu kawal perasaan
# Memuji anak bertempat
# Beri contoh teladan terbaik
# Tidak memukul melulu
# Elak mengeji anak

Artikel ini dengan kerjasama Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM).

# Penulis ialah pakar psikiatri, Hospital Tampoi Johor Bahru, Johor dan Ketua Wanita JIM Johor Bahru boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

http://www.jendelahikmah05.blogspot.com/

Tips Mengunjungi Bakal Mak Mentua

Kiriman: candyflower

Bagaimanakah rasa kali pertama bertemu bakal mertua? Pasti jantung berdegup laju, jari-jemari terasa berpeluh sejuk dan segala benda serba gementar.

Dalam zaman yang serba moden ini, ramai orang akan memperkenalkan pasangan mereka kepada kedua ibubapa semasa dari tahap awal berkawan lagi. Ini adalah untuk memastikan bahawa wanita atau lelaki yang dipilih itu menepati kehendak kedua belah keluarga.

Ini juga dapat mengelakkan daripada timbul tentangan dari pihak keluarga apabila hubungan telah bertambah serius. Wanita atau lelaki yang dibawa bertemu keluarga juga boleh menilai samada beliau mahu menjadi sebahagian daripada keluarga tersebut ataupun tidak.

Jadi apakah yang harus teman2 lakukan pada pertemuan pertama?

Hobi
Tanyalah terlebih dahulu kepada pasangan mengenai hobi ibubapanya. Setelah mengetahuinya , bacalah maklumat tentang hobi mereka. Jika mereka gemar berkebun, anda boleh membawa benih tumbuhan kesukaan mereka ataupun baca mengenai teknik-teknik terbaik untuk menanam pokok di cuaca Khatulistiwa ini. Ini akan memudahkan anda untuk berbual mengenai hobi mereka.

Tumpukan Perhatian
Apabila mereka bertanya, jawablah soalan dengan baik. Apabila mereka menceritakan sesuatu, beri perhatian dan dengarlah dengan baik. Ini kali pertama anda bertemu mereka, jadi kurangkan celoteh anda. Anda akan
berpeluang untuk berceloteh di lain-lain pertemuan.

Bawa Buah Tangan
Tujuan anda menemui mereka adalah untuk mengambil hati mereka bukan? Maka tiada salahnya jika anda membelikan buah tangan seperti buah-buahan atau kuih-muih. Ini akan mengambarkan bahawa anda bukanlah seorang yang kedekut.

Kekasih Lama
Walau macamana hebat pun bekas kekasih anda, jangan sekali-kali anda bercerita mengenai bekas kekasih di hadapan bakal mertua. Walaupun bekas kekasih anda adalah anak saudara kepada bakal mertua. Elak untuk menjawab secara spesifik.

Kesesuaian Pakaian
Pastikan anda berpakaian kemas dan rambut tersisir rapi. Bagi yang lelaki, elakkan daripada memakai jeans koyak walaupun ianya fesyen terkini. Bagi yang wanita, paling selamat, anda boleh memilih untuk memakai baju kurung dan jangan kenakan mekap yang keterlaluan.

Ringan Tulang
Jika tuan rumah menjamu makanan, bagi wanita eloklah kiranya anda melawat ke dapur samada untuk membantu menyiapkan hidangan ataupun setelah selesai, anda boleh membantu mengemaskan meja. Walaupun tuan rumah medesak supaya anda tidak membantu, sekurang-kurangnya angkatlah pinggan anda ke dapur.

Bukan bakal mertua sahaja yang sedang membuat penilaian terhadap teman2, bahkan anda juga berhak untuk membuat penilaian terhadap keluarga tersebut. teman2 seharusnya menilai samada anda boleh menerima cara hidup mereka kerana setelah berkahwin nanti, mereka juga akan menjadi sebahagian daripada hidup teman2.

P/S:T'pulang pd memasing kalo nak guna pakai ilmu nih...saje aku turun n kongsi bersam korang.

www.raudhah.com

Barat membela atau melacurkan wanita?

ISKANDAR Z – penulis lelaki yang prihatin tentang nasib dan pelabelan terhadap wanita sejagat. Beliau memperkatakan tentang Stereotaip wanita Muslim dan realiti dunia Barat.

Sejauh manakah benarnya tanggapan popular ini? Tanggapan Media barat dan media berbahasa Inggeris di negara kita, yang meletak imej stereotaip wanita Muslim sebagai kumpulan yang tertindas. Tanggapan ini hampir tidak dapat diubah lagi. Terutamanya semasa keburukan pemerintahan Taliban di Afghanistan dipersembahkan dengan berleluasa di media – dan pencabulan terhadap wanita di Darfur, Sudan – penindasan terhadap wanita kelihatan seperti satu bahagian penting agama Islam.

Jika dilihat di kedai–kedai buku popular di negara kita, kita akan menemui satu bahagian yang menempatkan buku khusus di bawah tema “penindasan terhadap wanita di dunia Muslim,” seperti Not Without my Daughter, My Feudal Lord dan banyak lagi. Kesemuanya menceritakan satu isu yang dilihat sebagai satu masalah besar membelenggu dunia Muslim; penindasan terhadap wanita.

Sebenarnya, berita dan buku seperti yang dilihat di kedai–kedai buku itu, yang menyumbang kepada salah faham berleluasa ini, hanya menceritakan sebahagian kecil (dan contoh terburuk yang dicari pada masa ini) sahaja realiti penindasan dan eksploitasi terhadap wanita di dunia. Sejarah dunia Muslim, sekiranya dilihat dengan jujur, akan menunjukkan banyak bukti yang menunjukkan kepalsuan stereotaip itu.

Kehidupan Nabi Muhammad SAW merupakan sumber terbaik untuk mencari bukti tersebut. Sekiranya layanan yang baik terhadap wanita disifatkan sebagai nilai progresif pada hari ini, Muhammadlah orang yang memulakan dasar progresif ini, walaupun dituduh sebaliknya oleh fanatik Kristian dan sebahagian orientalis Barat. Selain menghentikan praktis zalim terhadap wanita pada zamannya, Baginda telah mengangkat taraf wanita pada zamannya. Isteri–isteri Baginda, terutama Aisyah RA merupakan salah seorang penyebar ilmu penting di kalangan komuniti Muslim pada masa itu. Sahabat–sahabat Baginda, yang juga terdiri daripada mereka yang berilmu tinggi, turut menerima ilmu daripada Aisyah. Ini menunjukkan, wanita pada zaman Muhammad dapat mencapai status sosial yang tinggi melalui ilmu yang mereka miliki, sesuatu yang mengambil masa yang sangat panjang untuk berlaku di dunia Barat.

Pada zaman itu juga, isteri pertama Baginda, Khadijah, telah pun muncul sebagai seorang ahli perniagaan, yang menjadi pemilik hartanya sendiri. Ini juga mengambil masa ratusan tahun sebelum menjadi realiti di Barat. Ketika zaman kegemilangan empayar Islam di Timur Tengah, wanita di Barat masih belum lagi dibenarkan memiliki harta, apatah lagi menguruskan perniagaan sendiri.

Satu contoh menarik untuk diperhatikan ialah, wanita Inggeris hanya dapat memiliki harta sendiri sepenuhnya bermula pada tahun 1870, melalui kelulusan Akta Harta Wanita Berkahwin, sedangkan wanita Muslim sudah pun menikmati hak itu sejak kurun ke–7. Dalam satu peristiwa pada tahun 1716, Lady Mary Wortley Montagu, isteri duta British ke Turki yang ketika itu dibawah pemerintahan kesultanan Uthmaniyyah kagum dan terkejut melihat bagaimana wanita di negara Muslim itu bebas memiliki harta dan perniagaan sendiri.

Isu wanita sebagai pemimpin (yang dipilih oleh rakyat) yang sering menjadi isu penting dibincangkan golongan feminis juga telah dibuktikan palsu oleh sejarah. Pengiktirafan terhadap status wanita itu dapat dilihat menjadi realiti di beberapa negara Muslim hari ini. Dua negara termaju Barat, Amerika Syarikat (negara yang disebut sebagai pemimpin dunia Barat) dan Jerman (negara terbesar dalam Kesatuan Eropah) belum lagi mengundi wanita sebagai pemimpin, sedangkan ini telah pun berlaku di negara Muslim terbesar di dunia; Indonesia, dan sebuah negara Muslim mundur; Bangladesh. Walaupun ini tidak menceritakan sepenuhnya realiti taraf wanita di negara terbabit, ia memberikan satu tanda positif melibatkan kedudukan wanita di dunia Muslim.

Media popular jelas menunjukkan tuduhan Barat adalah palsu. Imej wanita dieksploit seolah-olah satu definisi dunia Barat. Hampir tidak ada media dari Barat yang terlepas daripada fenomena ini. Majalah, media elektronik dan paling utama Internet, membuktikan Barat menjadi peneraju utama pencabulan terhadap wanita di zaman ini, walhal mereka sibuk menentang membuat penentangan terhadap penindasan wanita di dunia Muslim.

Produk hiburan salah satu contoh eksplotasi wanita sebagai sesuatu yang hampir tidak boleh dielakkan lagi. Di seluruh dunia, boleh dikatakan semua remaja mengenali Britney Spears dan imej yang dibawanya.

Stereotaip yang diperlihatkan sebagai realiti dunia Muslim jelas sekali tidak benar, kerana stereotaip yang sama juga boleh dikemukakan sebagai realiti dunia Barat. Berdasarkan realiti hari ini, Baratlah yang lebih perlu memperbaiki status wanita mereka. Pemakaian tudung oleh wanita Muslim semakin banyak diakui wanita Barat sebagai memberikan kebebasan, bertentangan dengan obsesi terhadap kecantikan di Barat sehingga memudahkan wanita diukur dari sudut fizikal semata-mata. Ramai wanita Barat telah mengakui, pakaian menutup aurat akan membolehkan penilaian ditumpukan kepada ilmu dan kebolehan mereka, dan bukan kecantikan luaran.

Kempen memburukkan Islam dan umat Muslim ini menunjukan kesilapan dunia Muslim diperbesarkan sebagai salah satu medan perang budaya yang berlangsung di zaman ini. Barat mengatakan mereka peneraju segala nilai baik dan benar. Pembebasan wanita hanyalah satu bahagian kecil daripada perang ini. Ini bagaimanapun tidak bermakna dunia Muslim terlepas daripada sebarang kesalahan. Ketinggian taraf wanita yang dibawa oleh Nabi Muhammad kini telah hilang daripada genggaman dunia Muslim. Mesej penting Muhammad yang menjadi satu agenda penting di zaman Baginda, tidak terlaksana pada zaman ini sehingga melemahkan umat Muslim.

Mesej mengenai wanita itu seolah-olah dilupakan Muslim hari ini, terutama kelompok yang mengamalkan dasar tidak progresif. Kealpaan dunia Muslim telah membolehkan dunia Barat mendakwa mereka menerajui perjuangan wanita, sedangkan sebenarnya dalam banyak kes, isu ini hanya dijadikan alat politik untuk memburuk-burukkan Islam. Perjuangan pembebasan wanita tidak boleh dimonopoli mana-mana pihak.

Di banyak tempat, dapat dilihat ketidakadilan ini. Pendidikan untuk wanita masih sukar diperolehi di banyak negara Muslim. Di Arab Saudi, negara tanah kelahiran Nabi Muhammad, yang menjadi destinasi Muslim seluruh dunia menunaikan ibadah haji, taraf wanita masih sangat rendah sehingga tidak dibenarkan mengundi dan memandu kenderaan. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh Muslim seluruh dunia untuk mengembalikan kegemilangan ini, yang pernah kita terajui suatu masa dahulu. Hanya dengan memperbaiki kesilapan ini, umat Muslim dan agama Islam akan bebas daripada tuduhan palsu ini, dan dapat kembali meneruskan sunnah yang dimulakan Baginda lebih 1400 tahun lalu.

www.wanitakini.net

Penyusuan ibu eksklusif enam bulan pertama

Oleh: TAJAIYAH IHSAN (Utusan Malaysia)

WALAUPUN kempen penyusuan ibu baru sahaja berakhir, namun usaha untuk menggalakkan lebih ramai ibu menyusukan bayi mereka masih diteruskan.

Ini kerana kelebihan menyusukan bayi sendiri adalah yang terbaik dan tiada tandingannya. Ia bukan sahaja bagus untuk si manja malah bagi ibu itu sendiri.

Menurut Pakar Perunding, Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan, sungguhpun sudah ada kesedaran di kalangan ibu-ibu menyusukan bayi mereka tetapi ternyata ia tidak mencukupi.

``Paling penting, mereka perlu menyusukan bayi mereka secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan pertama, barulah dikatakan matlamat menyusukan bayi itu tercapai dan memberi kesan yang cukup positif pada bayi,'' ujar Dr. Jamiyah.

Jelas beliau, penyusuan eksklusif ini bermaksud, hanya susu ibu diberikan kepada bayi dalam tempoh enam bulan itu tanpa sokongan makanan atau minuman lain (termasuk air masak).

Makanan tambahan hanya dimulakan selepas bayi berusia enam bulan ke atas.

Lebih baik lagi, jika ibu-ibu dapat meneruskan susuan ke atas bayi mereka sehinggalah bayi meningkat dua tahun.

Dr. Jamiyah berkata, ``Memang benar sudah ramai ibu yang menyusukan bayi mereka kerana sudah dilatih sebaik sahaja melahirkan anak termasuk ibu yang melahirkan anak mereka melalui pembedahan Caesarean.''

Malah, ibu-ibu mendapatkan pendedahan awal mengenainya selepas satu jam bersalin daripada jururawat dan mereka yang terlatih di hospital.

Pihak hospital kerajaan dan swasta juga mengambil inisiatif dengan mengadakan kempen penyusuan ibu sempena sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia yang diadakan pada bulan Ogos setiap tahun.

Kempen-kempen ini dianjurkan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan ibu di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Inisiatif Penyusuan Ibu PPUM, memberitahu, pihaknya juga mengadakan sambutan yang sama bertemakan `Menyusu Bayi dan Makanan Keluarga, Sayang dan Sihat' pada 13 Ogos lalu.

Dr. Jamiyah berkata, walaupun sambutan Minggu Penyusuan Ibu sudah berlalu, program seperti ini berterusan dan aktiviti berkaitan terus diadakan dari semasa ke semasa.

Apa yang jelas, menyusukan bayi dengan susu ibu merupakan langkah bijak dan terbaik ke arah perkembangan dan tumbesaran bayi.

Kepentingan penyusuan ibu menurut Islam
``Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.'' - Surah al-Baqarah.

Kelebihan susu ibu

* Susu awal ibu yang menitis pekat berwarna kekuningan mengandungi kolostrum yang tinggi khasiatnya untuk si manja. Antaranya: melindungi bayi daripada jangkitan dan alahan kerana ia kaya dengan antibodi, mencegah jangkitan dan penyakit mata kerana mengandungi vitamin A & E, kematangan usus dan mencegah alahan dan mengeluarkan mekonium dan mencegah jaundis (susu ibu juga sejenis laksatif).

* Mengandungi khasiat zat yang lengkap bagi memenuhi keperluan bayi

* Mengandungi protein, lemak dan asid lemak yang tinggi dan mudah dihadam. Perkembangan sistem penglihatan bayi yang menyusu juga mengumpul DHA di dalam korteks. (Kajian menunjukkan bayi yang menyusu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu susu ibu. - American Journal Of Clinical 1991)

* Melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan

* Mengurangkan penyakit-penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis dan cirit-birit.

* Mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak bila mereka dewasa

* Mengurangkan risiko sindrom kematian bayi

* Mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang

* Mengurangkan risiko pencemaran berbanding penyusuan yang lain.

Faedah penyusuan terhadap ibu

* Melindungi kesihatan ibu, merendahkan risiko terhadap barah buah dada dan ovari

* mengelakkan pendarahan selepas bersalin

* Menjarakkan kelahiran kerana ia merupakan cara perancang keluarga semula jadi

* Mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut kerana hormon oksitosin membantu mengecutkan rahim

* Mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak

* Penyusuan ibu boleh dilakukan pada bila-bila masa saja dan di mana-mana sahaja.

Menurut Dr. Jamiyah lagi, biarpun penyusuan ini banyak memberi kelebihan, namun masih ada yang agak keberatan mahu menyusukan bayi mereka.

Senario ini mungkin terjadi kerana kurang pengetahuan mengenai cara menyusukan bayi dengan betul dan selesa atau cara lekapan yang betul tanpa menyakitkan puting buah dada.

``Teknik menyusukan bayi juga perlu betul kerana jika tidak ia boleh melukakan puting buah dada dan membuat ibu serik menyusukan anaknya,'' ujar Dr. Jamiyah lagi.

Cara yang betul ialah dengan memasukkan puting dan sebahagian kawasan gelap buah dada ke dalam mulut bayi. Puting akan terluka jika dihisap pada pangkal puting sahaja.

``Sebenarnya ibu boleh memilih gaya mana yang mereka selesa untuk menyusukan bayi, duduk atau baring mahupun lain-lain posisi. Apa yang pasti proses penyusuan itu mewujudkan satu hubungan yang akrab penuh kasih sayang antara ibu dan anak-anak.''

Beliau juga memberitahu, di PPUM, bakal ibu dan bapa digalakkan mengikuti kelas ibu mengandung dan penyusuan ibu. Kehadiran ayah akan memberi sokongan kepada ibu.

Malah kata Dr. Jamiyah lagi, pihaknya juga menggalakkan ibu menyusukan bayinya di depan anak-anaknya yang lain supaya anak-anak memahami mengenainya dan apabila mereka dewasa, ia (penyusuan ibu) sudah tidak pelik lagi.

Proses pengeluaran susu

Pengeluaran susu bergantung pada keperluan dan penghisapan bayi anda. Anak saraf di dalam puting dirangsang apabila bayi menetek.

Kemudian isyarat dihantar ke otak yang menyebabkan pengeluaran hormon prolaktin. Hormon ini memulakan pengeluaran susu dalam buah dada.

Semakin kerap bayi menetek, semakin banyak hormon prolaktin yang dikeluarkan dan lebih banyak hormon bererti lebih banyak susu yang terhasil.

Kala bayi menyusu ia akan merangsangkan pengeluaran oksitosin yang menyebabkan susu mengalir keluar.

Walau bagaimanapun proses mudah dan semula jadi ini tidak akan berjaya jika anda kurang yakin dengan keupayaan diri untuk menyusu atau cemas dan mengalami tekanan.

Kata Dr. Jamiyah lagi, yang penting ibu mestilah berasa seronok dan positif untuk menyusukan bayinya.

Menurutnya, ibu angkat juga boleh menyusukan bayi yang dipelihara bila bayi itu menetek dengannya dan proses itu sekali gus merangsangkan air susu ibu untuk mengalir.

``Terdapat kes-kes yang melibatkan ibu angkat yang berjaya menyusukan anak angkat mereka dengan jayanya,'' katanya lagi.

Selepas tempoh dua bulan, ibu yang kembali bekerja masih boleh terus menyusukan bayinya.

Mereka boleh menyimpan perahan susu dalam peti sejuk (bahagian dingin beku) beberapa bekas untuk kegunaan bayi dan boleh juga membuat perahan yang sama di pejabat.

Dalam hubungan ini, Dr. Jamiyah berharap majikan boleh mengadakan ruang atau bilik khas buat ibu-ibu yang bekerja.

Beliau juga memberitahu, apa yang penting ibu juga perlu menjaga kesihatan, kebersihan dan makan makanan seimbang.

Dr. Jamiyah juga menambah, walaupun seseorang itu sakit atau menghidap sesuatu penyakit, dia juga layak menyusukan bayinya.

Pesakit HIV positif dan pesakit barah yang dalam rawatan tidak dibenarkan menyusukan bayi kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan bayi.

Tolak tanggapan negatif

Beliau juga menolak tanggapan yang mengatakan ibu yang menyusukan bayinya akan menyebabkan buah dadanya melendut atau jatuh.

Sebaliknya mereka akan mendapati buah dadanya elok asalkan mengenakan coli yang betul dan bersesuaian. Apa juga masalah mengenai penyusuan boleh diatasi andainya mereka merujuk kepada yang arif.

Apa yang penting ibu perlu sentiasa menjaga pemakanan mereka dan kebersihan dari awal mengandung sehinggalah bayi dilahirkan dan seterusnya.

Seperkara lagi banyak kaedah dan tip boleh diberikan kepada mereka yang baru mula menyusukan bayi mereka.

``Saya berharap ramai ibu akan tampil untuk menyusukan anak mereka kerana mereka boleh melakukannya. Istilah susu kering atau apa sahaja, insya-Allah semuanya boleh diatasi. Rujuk kepada yang pakar jika anda mengalami masalah mengenai penyusuan ibu ini,'' ujar Dr. Jamiyah.

Kecantikan Wanita

Allah berfirman didalam sebuah hadith Qudsi : "Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan."

"Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya."

"Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh."

"Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya."

"Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya."

"Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahwa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu."

"Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bilapun ia perlukan."

"Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya.Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya, tempat dimana cinta itu ada."

Wallahualam.

www.raudhah.com

Barah pangkal rahim (serviks) - ambillah ujian pap smear

Bersama Dr Fairuz A'shikin Abd Kadir, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, Darul Ehsan Medical Centre (DEMC), Shah Alam.

Pangkal rahim adalah bahagian tirus di bawah rahim, yang menyambungkan rahim ke faraj. Ia adalah sebahagian dari sistem reproduktif wanita.

Barah pangkal rahim atau serviks merupakan Kanser ke 2 tinggi di menyerang warga Malaysia. Ia menyumbang kepada kematian utama di kalangan barah wanita. Barah ini biasa mengambil masa bertahun sebelum dikesan. Mungkin yang bagusnya, kanser ini dapat dikesan sebelum perubahan malignan / kanser pada sel berlaku yang di kenali sebagai displasia. Sel kanser akan bertambah dan merebak ke dalam lagi dan keseluruhan pelvis.

Siapa yang berisiko mengidap barah serviks?
Para doktor tidak dapat meramalkan siapa yang akan atau tidak mendapat kanser. Tetapi para saintis telah mengkaji tabie barah dan mengenal pasti fakta kelakuan dan persekitaran yang akan meningkatkan cansa mendapat kanser. Faktor risiki adalah peluang seseorang mendapat sesuatu penyakit. Faktor pencegahan adalah perkara yang dapat mengurangkan cansa mendapat penyakit.

Sebahagian faktor risiko boleh dielakkan, sebahagian tidak. Contohnya: kita boleh berhenti merokok, tetapi faktor keturunan tidak dapat dielakkan.

Pencegahan adalah mengelak atau menjauhi dari faktor risiko dan meningkatkan pengawalan faktor risiko untuk mengelakkan dari barah.

Walau banyak faktor risiko dapat dielakkan, harus diingat ini tidak menjamin anda tidak akan mendapati kanser. Ada juga yang mempunyai faktor risiko dan tidak mendapat kanser. Cuma ada orang yang lebih peka dari yang lain.

SIAPA YANG RISIKO MENHIDAP KANSER SERVIKS

• Semua wanita sehingga umur 65 tahun. Kadar barah serviks ini memuncak pada umur 35 tahun dan 65 tahun
• Wanita yang aktif hubungan kelamin: sama ada bujang atau berkahwin

WANITA YANG BERISIKO TINGGI - WANITA YANG MEMPUNYAI TANDA –TANDA:

• Keluar darah dari faraj : antara haid, selepas hubungan kelamin
• Discaj yang berbau

FAKTOR-FAKTOR RISIKO

1. Sejarah kehamilan: Mempunyai bilangan kelahiran yang tinggi (7 atau lebih) meningkatkan risiko barah serviks.

2. Penggunaan pil pernacang kehamilan: Dikaitkan penggunaan pil perancang kehamilan lebih 5 tahun dengan peningkatan risiko barah serviks.

3. Sejarah pengesanan : Kerap melakukan pemeriksan ginekologi dan ujian Pap dapat mengelak dari barah serviks. Perubahan abnormal dalam pangkal rahim dapat dikesan melaui ujian Pap, dan rawatan awal dapat di lakukan sebelum timbul barah.Wanita yang tidak melakukan Ujian Pap berjadual menambah risiko untuk barah serviks.

4. Merokok: merokok dikaitkan dengan barah serviks.

5. Diet: Ada kajian merumuskan beberapa mikronutrients (vitamin dan mineral) mungkin mengurangkan risiko tapi belum terbukti.

6. Tabiat seks – permulaan hubungan kelamin pada umur yang awal, mempunyai pasangan rambang, hubungan bersama pasangan yang mempunyai sejarah seks rambang mempunyai risko tinggi mendapat HPV dan barah serviks.

7. Agen jangkitan – virus human papilloma adalah risiko utama. Terdapat 80 jenis human papillomavirus (HPV). Lebih kurang 30 jenis adalah dari hasil hubungan kelamin (virus dipindah dari seseorang ke seseorang melalui hubungan kelamin) dan boleh menjangkiti pangkal rahim. Saparuh dari jangkitan ini dikaitkan dengan barah pangkal rahim. Tetapi, jangkitan HPV tersangat biasa dan cuma segelintir wanita yang dijangkiti yang tidak dirawat akan mendapat kanser.

8. Kebersihan diri : kurang penjagaan kebersihan terutama bahagian kelamin.

9. Sosioekonomi rendah : buruh, kelindan lori.

MERENDAHKAN RISIKO - Menjalani progam pengesanan

• menjangkau usia 60 tahun, Pap Smear normal.
• mengelak faktor risiko tersebut di atas

PROGRAM PENGESANAN
UJIAN PAP SMEAR

* Sel-sel diambil secara berhati-hati dari permukaan serviks diletakkan di atas slaid kaca
* Makmal – Ujian mikroskopik


KEPUTUSAN
• Normal
• Tidak normal
• Prakanser

KEKERAPAN
• 3 tahun - 91% pengesanan prakanser
• 1 tahun – 93%

DI MANA?
• Klinik Swasta
• Klinik perancang keluarga
• Pusat perubatan.

RAWATAN
• Bergantung pada tahap kanser

• Pembedahan : peringkat awal

• Rawatan radioterapi : peringkat advans

• rawatan susulan mesti untuk mengesan kanser berulang

www.wanitakini.net

Petua Dari Dr Fadhilah Kamsah

Kiriman: chiknona

Bismillahirrahmanirahim
Sebelum tidur, maafkan semua orang tak kira siapa ~ InsyaAllah, Allah lipat gandakan rezeki.

Sebelum tidur, berdoa, depends on apa yg kita hendak sepanjang tidur,otak akan generatekan all of our wish & InsyaAllah, kita akan work towards it (ada semangat) di keesokan harinya.

Makan buah sebelum breakfast, lunch & dinner ~ ikut Sunnah &dapat pahala & also boleh rujuk kpd pakar pemakanan,vit C dari buah2an yg dimakan selepas breakfast, lunch & dinner yang akan diperolehi adalah approaching 0%.

Jangan minum air semasa sedang makan (breakfast, lunch & dinner). Minum air selepas 15-30 minit selepa makan.Untuk minum, bagi teguk yg pertama sahaja, biarkan air dlm mulut about 10s then baru telan.Teguk kedua & seterusnya boleh minum terus sbb air liur ada enzyme yg boleh membunuh kuman dlm pankreas,perut, & so on yg akan dibawa oleh air tegukan pertama.

Seelok2nya makan malam sblm maghrib ~ ikut sunnah (Rasullullah makan sblm maghrib kecuali bulan Ramadhan saja ie masa maghrib), sbb, bagi yg tgh study (or anak2), otak akan berfungsi excellently (senang absorb ilmu) around 2 hrs slps makan so, if makan at 8:30pm, around 10:30pm baru start study and most probably hanya boleh bertahan hingga jam 12 tgh malam saja,jadi, tak byk yg boleh dipelajari berbanding kalau
makan pukul 6:30 (org Cina take dinner around this hour). Juga, kita tak tidur dlm kekenyangan (yg mana boleh menghindar dari membuat sembahyang malam)

Tatacara di bilik air:
Selepas buang air kecil, berdehem 3x (teran sikit) ~ boleh elak drpd dapat batu karang. Semasa buang air besar,mengiring sedikit ke kiri ~ ikut sunnah sbb bila mengiring ke kiri, perut akan tekan bladder and senang buang air besar.

Tatacara didik anak:
Antara tips untuk dpt anak bijak/genius, ajar anak (atau baby)tidur mengiring ke kanan ~ sbb jantung (yg terletak sblh kiri)akan lebih"lapang"/"lega" dan mudah berdegup (perjalanan darah okay) and otak anak akan develop excellently. Bagi anak2 yg dah azalinya active or hyper-active, kurang(or jgn) pakaikan baju warna orange ~ sbb warna ini boleh merangsang secara aktifnya tindak tanduk anak (ie. akan lebih nakal), sentiasa bersemangat waja & exuberant.

Tatacara didik diri sendiri:
Amalkan apa2 yg baik (juga amalan2 baru) selama 21+ plus hari berturut2 ~ Rasullullah (saw) bersabda, sesuat amalan yg diamalkan sekitar 21-30 hari, continuously, akan menjadi tabiat and kalau tak, ilmu itu akan mati. Buang segala rasa hasad dengki, dendam & lain2 yg -ve ~emosi2 ini akan membenarkan otak release excessive adrenaline,
cortisone & toxine yg mana boleh membawa kpd bbrp penyakit cepat letih, wajah cepat nampak tua(tua sblm waktunya), selalu sakit perut & etc.

Ada 3 kategori manusia:
BERJAYA : Hari ini lebih baik daripada semalam
TERPEDAYA : Hari ini sama seperti semalam
CELAKA : Hari ini lebih teruk daripada semalam

"Apabila kita kejar dunia, dunia akan lari; tetapi apabila kita kejar akhirat, dunia akan mengejar kita"

Just to ambil iktibar untuk mendidik diri & family. Usia Dunia sudah terlalu hampir ke penghujungnya, terlalu!

So, it's good if we can remind each other because in Rasulullah's last sermon, baginda pun did mention that all those who listen to him (on that day) shall pass on his words to others, and those to others again; and may the last ones understand his words better that those who listen to him directly...

Yang baik datang dari Allah & yg kurang itu is from my weaknesses. Do impart this knowledge & you'll lose nothing.

Wallahualam.

www.raudhah.com