Wanita Semasa

Wardina Bersayu Hati Ramadan Ini...


Salam Ramadan
`
BERBADAN dua dalam bulan Ramadan membuatkan saya teringat kembali bulan Ramadan ketika saya mengandungkan Amna dulu. Ketika itu badan memang lemah, tak larat hendak berpuasa. Namun Islam agama indah dan mudah, yang tidak membebankan hamba-Nya. Ibu mengandung ada kelonggarannya, begitu juga ibu yang menyusu bayi. Memang waktu itu saya tidak dapat menikmati bulan puasa sepenuhnya tetapi itu tidaklah membuatkan saya tidak gembira menyambut Ramadan. Jika tidak larat dan memudaratkan, elok ibu-ibu tidak memaksa berpuasa. Kita ada sebab bukan saja-saja...
`
Bulan Ramadan selalunya saya dan keluarga menghabiskan lebih banyak masa bersama. Bersama-sama solat jemaah terutama Subuh, Maghrib dan Isyak. Kemudian dengan berimamkan ayah kami bertarawih pula. Cukup indah suasana Ramadan dalam keluarga saya. Hubungan kekeluargaan bertambah erat dan suasananya tidak sama seperti hari-hari biasa. Ramadan memang ada auranya yang tersendiri.
`
Tetapi tahun ini saya agak sedih. Adik beradik berpecah serata dunia kerana belajar. Ada di London dan Australia. Emak menemani adik di Brisbane, ayah pula di Aceh, bekerja. Bermakna tahun ini saya berjemaah dengan suami dan keluarga mentua. Menumpang manja...
`
Sejak berumahtangga dan ada anak, saya dan suami berjemaah tarawih di rumah saja. Saya rasa lebih elok begitu. Kita dapat mengawal keadaan, yalah, dalam rumah kita. Kalau hendak juga ke masjid, nanti mengganggu jemaah lain pula. Kita bersembahyang, anak berjalan entah ke mana. Kita pun tidak boleh tumpukan sepenuh perhatian. Memang elok kita ajar anak mengenali suasana di masjid di awal usia mereka tetapi jangan sampai kehadiran anak-anak kita mengganggu orang hendak beribadah dan menimbulkan rasa marah di hati mereka. Hendak dapat pahala, jadi berdosa pula.
`
Saya sudah pun menghabiskan komitmen kerjaya seni demi menumpukan perhatian pada bulan mulia ini. Boleh dikatakan saya bercuti sepenuhnya bulan ini. Walaupun tidak larat berpuasa, itu tidak bermakna peluang mengumpul amalan di bulan mulia tidak saya lakukan. Itulah azam saya, mahu beribadat sebanyak-banyak yang boleh. Kalau boleh hendak habiskan satu al-Quran, Insya-Allah. Emak selalu berpesan, baca Quran selepas subuh, mulakan hari dengan ayat-ayat suci. Lagi pun ia waktu yang berkat. Insya-Allah saya akan cuba. Marilah kita sama-sama mengingat antara kita juga. Sebanyak manusia kita selalu lupa, atau kadang-kadang kena melakukan banyak perkara lain. Tetapi eloklah kita cuba sedaya upaya.
`
Badan pun nampaknya semakin mengembang sekarang. Tidak lama lagi membuncitlah perut saya. Baju lama masih boleh pakai tetapi sudah ketat. Bermakna saya kena bershopping 'uniform' mengandunglah nampaknya. Zaman mengandungkan Amna dulu saya tidak ada banyak baju mengandung, tidak begitu rajin membeli. Rasa malas saja, mungkin pembawakan anak perempuan. Kali ini saya lebih excited. Menengok baju-baju maternity yang banyak cantik-cantik, memang teringin hendak membeli. Ada beberapa helai sudah pun mengisi almari baju saya. Raya kali ini saya berbaju raya mengandunglah! Memang saya sekarang dalam mood hendak melawa.
`
Kepada pembaca semua, selamat menyambut bulan Ramadan. Marilah sama-sama kita melakukan ibadah sebanyak mungkin dan jangan membazir. Elok bersederhana saja. Jumpa lagi. wardina.wkini@gmail.com
`

0 Comments:

Post a Comment

<< Home