Wanita Semasa

WOW! Fauziah Pemandu ERL


Fauziah membuktikan bahawa wanita juga boleh melakukan tugas yang dahulunya dipolopori oleh orang lelaki...
(Terima kasih kepada Pengurus Operasi ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-Mas), James Leonard Boudville)
`
Wanitakini sungguh bertuah. Melalui Pengurus Operasi ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-Mas), James Leonard Boudville, kami bertemu pemandu ERL Fauziah Md Yunus, 35, di KL Sentral. Setelah saling berkenalan kami dibawa ke stesen ERL bagi mengikuti bidang tugas pemandu ERL. Tepat 11.20 keretapi bergerak menuju destinasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Di sini bermulalah kerjaya Fauziah sebagai pemandu tren membawa 156 penumpang. Dengan kelajuan 160 km sejam Fauziah perlu memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang. Setiap 30 saat Fauziah perlu memijak pedal (jika tidak lampu amaran menyala sendiri) yang menyambungkan dengan sistem komputer untuk kelancaran perjalanan. Jika berlaku kecemasan pemandu akan memberhentikan tren dengan menekan butang dead man control.
`
Tampak mudah saja tetapi sebenarnya menguji keupayaan mental dan fizikal apatah lagi pemandu wanita yang tidak diyakini kemampuannya oleh kaum lelaki tetapi Fauziah cekal melakukan tugasnya kerana baginya tiada perbezaan pemandu lelaki atau wanita.
`
Bagaimana Fauziah boleh menjadi pemandu ERL?
Tidak pernah terfikir pun kerana ia bukanlah kerjaya sesuai untuk wanita. Tetapi selepas terbaca iklan di akhbar mengenai kerjaya ini saya teruja mencuba. Saya terus menghantar borang kemudian dipanggil untuk temuduga.
`
Adakah sebab utama untuk menyaingi lelaki?
Penyertaan saya bukan menyaingi lelaki tetapi lebih kepada merasai cabaran sebenar memandu ERL. Sebelum ini hanya melihat sahaja pemandu keretapi atau komuter menjalankan tugas mereka. Pada mulanya saya tidak menyangka penyertaan terbuka kepada wanita. Saya sekadar ingin mencuba nasib apatah lagi pengalaman bekerja menangani karenah pengguna di bahagian pentadbiran syarikat swasta 11 tahun, semakin membosankan. Dahulu saya terpaksa berurusan dengan orang ramai menangani kerenah mereka yang adakala memeningkan kepala. Saya terfikir mahu beralih bidang, apabila iklan disiarkan di akhbar saya tidak teragak-agak mencuba. Lagi pun saya sukakan cabaran apatah lagi melihat juruterbang wanita boleh melakukannya hati saya meronta-ronta mencuba, setelah lulus ujian bahasa Inggeris, kecerdasan dan sihat tubuh badan saya menjalani ujian teori dan amali di Salak Tinggi.
`
Bagaimana melalui ujian yang mencabar?
Dalam kedua-dua latihan, pemandu diajar bagaimana mengendalikan tren, mengawal tekanan dan memberi tumpuan kepada pemanduan. Pemandu perlu memberi tumpuan seratus peratus kerana mereka tidak boleh melebihi had laju yang diprogramkan dalam sistem komputer tren. Mulanya saya merasakan pekerjaan ini sukar kerana perlu menjaga keselamatan penumpang. Tetapi apabila memikirkan sokongan suami dan keluarga saya dapat bekerja tanpa sebarang masalah.
`
Boleh ceritakan rutin harian sebagai pemandu ERL?
Sebelum memulakan perjalanan, pemandu perlu datang 15 minit awal mengisi kehadiran dan mengambil jadual bekerja untuk seminggu dan sebulan. Sekiranya ada pertukaran penyelia akan memberitahu lebih awal kepada pemandu. Pemandu dibekalkan sebuah beg berisi lampu suluh, buku manual, baju hujan dan sticker untuk keselamatan penumpang. Setelah memastikan keselamatan saya memandu melalui stesen Bandar Tasik Selatan, Putrajaya, Salak Tinggi (ibu pejabat) dan seterusnya ke KLIA, melalui laluan sejauh 57 km dengan perjalanan tidak melebihi 28 minit daripada KL Sentral ke KLIA.Sepanjang perjalanan pemandu perlu menumpukan sepenuh perhatian. Tidak boleh leka walau sesaat kerana keselamatan penumpang di tangan pemandu. Sekiranya berlaku kecemasan komputer telah diprogramkan untuk memberitahu isyarat kepada pemandu menerusi lampu merah atau hijau, keretapi akan berhenti. Adakala ada rasa gerun di hati lantaran,156 penumpang berada di dalam keretapi pada satu-satu masa. Saya perlu menjaga keselamatan dan keselesaan mereka sepanjang perjalanan.
`

0 Comments:

Post a Comment

<< Home