Wanita Semasa

Isteri Tahanan ISA Rayu Benarkan Jumpa Suami Aidilfitri Ini Melalui Suhakam

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) – Isteri kepada enam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), merayu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk memastikan mereka dapat bertemu dengan suami masing-masing pada hari raya nanti.

Mereka membuat rayuan dan aduan sedemikian berikutan pihak penjara Kem Kamunting, Perak dikatakan mengeluarkan peraturan baru secara tidak rasmi iaitu hanya akan dibenarkan bercakap dengan tahanan melalui telefon.

Menurut Sles Monira Sles Math, isteri salah seorang tahanan, Nik Adli Nik Aziz, beliau berharap sangat Suhakam campurtangan dalam hal berkenaan.

“Disebabkan peraturan baru itu, suami saya minta saya dan anak-anak jangan melawatnya, takut anak-anak sakit jiwa sebab tak dapat jumpa dia,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Dr Munir Yaakob semasa beliau menyertai rombongan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya semakin lama suaminya ditahan peraturannya makin longgar sebaliknya makin ketat.

Oleh kerana itu katanya, beliau amat berharap suaminya yang ditahan empat tahun lalu dibebaskan segera.

Lima lagi isteri-isteri tahanan yang hadir ialah Norlaila Othman, Norani Abdul Rahman, Wan Hamidah Wan Abdul Hamid, Siti Munawiyah dan Roselina Abdullah.

Kebanyakannya juga meluahkan isi hati kepada Suhakam mengenai nasib suami.

Ini kata mereka, tahun sebelum ini pihak kem menyediakan khemah lengkap dengan kerusi meja untuk tahanan dan keluarga berinteraksi dengan selesa bersama keluarga masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, yang mengetuai rombongan tersebut berkata, berita itu pasti mengecewakan tahanan dan keluarga kerana Aidilfitri yang disambut lebih kurang seminggu lagi adalah perayaan utama umat Islam.

Malah katanya, semua 70 tahanan ISA yang beragama Islam di kem tersebut sedang menanti saat-saat gembira hari kebesaran Islam bersama keluarga.

Walaupun tidak pasti sama ada kenyataan kem itu benar atau tidak namun katanya, sejak Disember 2004 pertemuan tahanan dan keluarga dipisah oleh jaring besi dan gentian kaca (fiber glass).

Katanya, mereka hanya boleh berbual melalui 24 lubang sebesar siling 50 sen, selepas dikatakan tahanan merusuh.

“Sepanjang tahun 2005, pihak berkuasa kem mengeluar pelbagai peraturan baru yang menyusahkan keluarga tahanan.

“Tetapi apabila isteri tahanan merujuk kepada Pengarah Kem, beliau menyatakan, terpaksa mengikut arahan pihak atasan,” katanya.

Sehubungan itu beliau mendesak Suhakam memastikan pada hari raya tahanan sewajarnya diberi peluang untukmerayakannya dalam suasana yang selesa sebagaimana dianjurkan terhadap semua umat Islam.

“Merujuk kepada laporan tahunan 2003, Suhakam ada mencadangkan supaya pertemuan tahanan dengan keluarga tidak dipisahkan oleh jaring,” katanya sambil meminta kesemua tahanan dibebaskan segera.

Dalam pertemuan tersebut GMI juga turut menyerahkan dua memorandum iaitu bertajuk, ‘Kembalikan Hak Lawatan Keluarga’ dan ‘Apa yang Hendak ‘Dipulihkan’.

Dalam pada itu, Dr Munir berkata, setelah selesai penyiasatan dilakukan, Suhakam akan membuat pertemuan dengan Ketua Pengarah Penjara untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya akan minta minta pegawai saya untuk hubungi hari ini dengan Ketua Penjara, bila dia boleh bagi temu janji untuk saya berjumpa dengan dia sendiri, bukan melalui telefon,” katanya selepas kepada media selepas selesai majlis tersebut.

Katanya, beliau akan berbincang dengan pihak penjara bagaiman boleh berlaku sebagaimana didakwa oleh isteri-isteri tahanan dan katanya Suhakam lebih suka dengan apa yang dipraktikkan sebelum ini diamalkan. - Roy Rasul

0 Comments:

Post a Comment

<< Home