Wanita Semasa

Kanser Payudara Serang Lelaki Dan Wanita

Oleh: DR. GURCHARAN SINGH KHERA (Presiden Persatuan Onkologi Malaysia)

KANSER payu dara merupakan kanser yang paling kerap ditemui di kalangan wanita Malaysia. Ia juga adalah satu-satunya kanser yang paling biasa dari segi jumlah kes dalam kedua-dua jantina, termasuk lelaki.

Daftar Kanser Negara (NCR) 2003 melaporkan, satu dalam setiap 20 wanita tempatan akan didiagnos menghidap kanser payu dara dalam tempoh hayatnya.

Majoriti kes dikesan di kalangan kumpulan usia 40 hingga 49 tahun iaitu sedekad lebih tua berbanding di Barat. Bagaimanapun, kumpulan usia di antara 50 hingga 59 tahun mencatatkan insiden tertinggi.

* Gejala dan tanda-tanda

Ketumbuhan/tumor payu dara boleh jadi berkanser atau benigna (tumor bukan barah).

Ketumbuhan mungkin disebabkan oleh fibroadenoma dan penyakit fibrosistik. Kedua-dua bengkakan ini bagaimanapun hampir tidak pernah bertukar menjadi kanser. Ciri-ciri tumor kanser:

Ketumbuhan kanser terasa keras atau pejal/tidak lembut, tidak menyakitkan (kesakitan hanya terasa apabila sel-sel kanser telah merebak ke tulang atau saraf) dan tumbuh/membesar bersama masa.

Pada tahap awal, ketumbuhan boleh bergerak tetapi semakin ia membesar, ia mula berada pada kedudukan yang tetap/tersekat.

Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, disusuli dengan lelehan yang keluar dari puting, kadang kala mengandungi darah.

Ada ketikanya juga, kanser muncul dalam bentuk ruam pada kulit atau bengkakan di bawah ketiak/bawah lengan.

* Diagnosis

Langkah pertama adalah dengan berjumpa doktor yang akan menjalankan pemeriksaan luar payu dara, ketiak dan leher.

Doktor mungkin melakukan sinar x yang menghasilkan imej payu dara pada filem yang dipanggil mamogram.

Sekiranya ada kawasan pada mamogram yang mencurigakan atau tidak jelas, doktor akan mengaturkan ujian lanjutan biopsi bagi mengesahkan kehadiran tisu-tisu kanser.

Terdapat beberapa jenis biopsi:

Biopsi aspirasi; menggunakan jarum dan picagari untuk mengambil sebahagian kecil tisu daripada ketumbuhan di payu dara.

Trucut/biopsi teras; lebih tepat tetapi juga lebih menyakitkan. Apabila ketumbuhan gagal dirasai dengan tangan kerana terlalu kecil tetapi berjaya dikesan melalui sinar x, biopsi akan dilakukan di bawah panduan ultrasound atau mamogram.

* Patologi

Sebanyak 80 peratus kanser bermula dari dalam sistem duktus payu dara yang menghantar susu ke puting. Ia dipanggil karsinoma duktal.

Sementara itu, kanser lobul yang bermula dari lobus atau lobul yang menghasilkan susu pula mewakili baki 20 peratus lagi.

Kanser lobul cenderung untuk merebak di sepanjang permukaan/kapsul dan menghadapi kemungkinan yang lebih sukar untuk dikesan.


* Peringkat-peringkat kanser payu dara

Sebaik sahaja kanser payu dara telah dikenal pasti melalui biopsi, langkah seterusnya adalah untuk memastikan sama ada sel kanser tersebut telah merebak ke bahagian lain.

Dengan cara pemeriksaan fizikal pada leher, ketiak dan abdomen pesakit, proses yang dikenali sebagai pengkelasan ini dapat membantu doktor untuk merancang rawatan yang bersesuaian berdasarkan tahap penyakit ini.

Penilaian selanjutnya tentang sejauh manakah kanser telah merebak, akan dilakukan selepas pembedahan. Sinar x pada tulang, hepar dan paru-paru mungkin diperlukan.

Jika tumor masih belum merebak keluar dari payu dara, ia dikira sebagai peringkat awal manakala jika telah merebak ke ketiak (peringkat sederhana) dan merebak ke organ-organ lain seperti tulang, hati, paru-paru dan otak (peringkat lewat).

* Rawatan Pembedahan

Pembedahan bagi membuang sepenuhnya ketumbuhan pada payu dara disarankan sebagai rawatan bagi kebanyakan kanser payu dara setempat yang masih belum merebak ke lain-lain bahagian tubuh pesakit.

Satu dari dua pembedahan tumor payu dara yang sedia ada akan dipilih.

1 - Lumpektomi; adalah pembedahan paling ringan. Ia hanya membuang tumor dan sebahagian kecil daripada tisu di sekelilingnya. Pembedahan ini hanya dilakukan untuk kanser peringkat permulaan sahaja.

2 - Mastektomi; keseluruhan payu dara dibuang. Prosedur ini hanya dilakukan apabila tumor telah merebak ke bahagian lain yang lebih jauh.

Bahagian bawah lengan juga akan dibedah bagi membuang nodus limfa. Ketiak mempunyai di antara 10 hingga 30 nodus limfa. Ada ketikanya, sehingga enam ke lapan nodus limfa ketiak akan dibuang.

* Laporan patologi

Rawatan seterusnya akan ditentukan berdasarkan penemuan pembedahan, pemeriksaan histopatologikal dan pemeriksaan tumor payu dara serta nodus ketiak.

Beberapa ujian tambahan juga akan dilakukan terhadap spesimen atau contoh yang telah diambil. Ini termasuklah status penerima hormon (penerima estrogen dan progesteron), onkogen cerb-B2 (IHC atau herceptest/FISH).

* Radioterapi

Ia menggunakan sinar bertenaga tinggi untuk memusnahkan sel-sel kanser yang mungkin tertinggal bagi mengelakkan kanser tersebut berulang.

Biasanya sinaran tersebut ditujukan dari satu sumber di luar badan bahagian yang terlibat dengan kanser.

Radioterapi keseluruhan payu dara disarankan untuk hampir keseluruhan kes selepas pembedahan lumpektomi atau prosedur membuang sebahagian payu dara.

Terapi mengambil masa antara empat hingga enam minggu, dilakukan lima hari seminggu dari Isnin hingga Jumaat.

Terapi sinaran ini merupakan satu rawatan yang tidak menyakitkan, tidak menyebabkan keguguran rambut dan tidak meninggalkan kesan terbakar pada kulit.

Selepas mastektomi, radioterapi digunakan untuk kanser gred tinggi, begitu juga sekiranya perebakan kanser membabitkan lebih dari tiga nodus limfa.

Radioterapi selepas mastektomi mengambil masa selama tiga hingga lima minggu dan menyebabkan kemerah-merahan pada kulit permukaan dada.

* Kemoterapi

Melibatkan penggunaan dadah antikanser untuk membunuhnya. Sesetengah ubat-ubatan yang digunakan boleh menyebabkan keguguran rambut yang bersifat sementara.

Rambut tumbuh semula sepenuhnya selepas kira-kira tiga hingga empat bulan kemoterapi terakhir diberikan.

Pemilihan kemoterapi bergantung kepada anggaran risiko kejadian semula. Maklumat yang diambil kira termasuklah gred tumor, peringkat kanser (termasuk saiz ketumbuhan dan jumlah nodus limfa positif), status penerima hormon dan penerima cerb-B2.

Rata-rata regim kemoterapi diberikan selang tiga minggu yang keseluruhannya mengandungi antara enam hingga lapan sesi.

Bagi tumor yang lebih agresif yang turut membabitkan nodus limfa, regim yang lebih agresif menggunakan ubat-ubatan baru akan diberikan dalam jeda waktu dua minggu.

* Terapi hormon

Dalam sesetengah kes, kemoterapi akan diikuti dengan terapi hormon menggunakan ubat antiestrogen untuk menyekat pertumbuhan sel-sel kanser.

Ubat-ubatan tersebut disasarkan untuk menyerang sel-sel kanser yang diuji positif penerima hormon estrogen/progesteron.

Terapi hormon yang diambil satu tablet sehari ini akan dipreskripsi sekiranya kajian ke atas penerima hormon didapati positif.

Terdapat ubat baru iaitu perencat Aromatase yang lebih berkesan berbanding piawaian semasa bagi wanita pascamenopaus. Bagaimanapun, kosnya adalah tinggi.

* Diet semasa rawatan

Makanan yang tinggi kandungan kalori dan protein digalakkan pengambilannya terutama sekali semasa seseorang pesakit itu sedang menjalani tawaran kemoterapi.

Protein penting bagi membantu sel-sel normal tubuh yang telah musnah sementara, untuk pulih dan tumbuh semula. Sumber protein yang baik terkandung di dalam daging, telur, ikan, soya dan susu protein tinggi.

Elakkan daripada memakan makanan laut semasa menjalani rawatan radioterapi. Makanan bergoreng dan bertin juga tidak digalakkan.

* Tindakan berjaga-jaga semasa rawatan

Makanan tambahan antioksidan dapat membantu melindungi sel-sel normal daripada rosak semasa rawatan.

Dalam masa yang sama, ia juga mampu melindungi sel-sel kanser yang sedang dirawat melalui radioterapi atau kemoterapi.

Justeru, bagi mengelak kemungkinan perlindungan yang diberikan terhadap sel-sel kanser, nasihat umumnya adalah untuk mengelak pengambilannya semasa rawatan.

* Menghalang perebakan ke tulang

Tulang menjadi organ yang paling mudah bagi kanser payu dara untuk merebak.

Bisfosfonat merupakan kumpulan ubat yang membantu di dalam penyembuhan tulang yang dijangkiti oleh kanser.

Ia menyediakan kualiti hidup yang baik dengan cara mengurangkan kesakitan, kepatahan dan lain-lain, di kalangan pesakit kanser payu dara yang telah merebak ke tulang.

Baru-baru ini, terdapat data yang menyokong penggunaan agen-agen ini sebagai rawatan adjuvan bagi kes-kes kanser payu dara berisiko tinggi.

Pakar-pakar perubatan masih lagi menjalankan beberapa penyelidikan berasingan berkaitan isu rawatan adjuvan bersama bisfosfonat bagi mencegah perebakan kanser ke tulang. Oleh itu, penggunaannya sebagai adjuvan masih belum boleh dianjurkan buat masa sekarang.

Pendekatan komplementari

Chikong, taichi dan meditasi merupakan sebahagian aktiviti pelengkap yang berupaya membantu para pesakit menghadapi tekanan setelah disahkan menghidap kanser payu dara, seterusnya mengendalikan kesan sampingan rawatan.

Ia juga membolehkan pesakit meneruskan kehidupan mereka. Terdapat banyak persatuan yang mengajar aktiviti-aktiviti mereka sendiri seperti disebutkan di atas.

* Gaya hidup

Pesakit yang obes atau mempunyai lebihan berat badan bukan sahaja menghadapi insidens kanser payu dara yang lebih tinggi tetapi bagi pesakit yang telah pulih, mereka menghadapi risiko berulang yang juga tinggi.

Kegiatan fizikal secara tetap adalah sangat penting dalam usaha mengekalkan berat badan yang ideal dan sihat. Pengambilan lemak tepu dan alkohol hendaklah dikurangkan atau dielakkan sama sekali.

* Organisasi bukan kerajaan

Rakyat Malaysia beruntung kerana terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang tidak berasaskan keuntungan yang terlibat di dalam kerja-kerja berkaitan kanser payu dara di negara ini.

Para pesakit yang baru sahaja disahkan menghidap penyakit ini amat dialu-alukan menghubungi mereka untuk mendapatkan bantuan.

Persatuan Onkologi Malaysia (MOS) misalnya, yang baru sahaja melancarkan Buku Panduan MOS boleh diakses di alamat www.malaysiaoncology.org

Laman turut menyediakan ruang interaktif untuk orang ramai bertanya apa sahaja soalan berkaitan kanser payu dara yang hendak mereka tahu, yang akan dijawab oleh pakar onkologi secara bergilir-gilir.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home