Wanita Semasa

Peguam-peguam Wanita Mahu Hukuman Mati Bagi Enam Pedagang Seks

NEGARA-NEGARA perlu undang-undang yang lebih tegas bagi mencegah wanita dan gadis menjadi mangsa kepada pedagang manusia, kemungkinan dengan mengenakan hukuman mati, peguam-peguam wanita berkata di persidangan antarabangsa pada 8 November 2005.

Perdagangan manusia untuk eksploitasi seks terhadap wanita atau kanak-kanak sudah menjadi “industri yang berkembang”, khususnya di negara-negara membangun, kata Saraswathy Devi, presiden International Federation of Women Lawyers.

“Satu cara yang boleh menghentikan perdagangan ini ialah dengan pihak kerajaan menahan pencabul yang terbabit dan menangani punca masalah tersebut, seperti kemiskinan dan ketidaksamaan gender,” dia memberitahu lebih dari 50 orang peguam dan aktivis dalam persidangan tahunan pertubuhan tersebut di Malaysia.

“Saya akan meminta hukuman mati bagi mereka yang memperdagangkan wanita,” kata Devi, seorang peguam Malaysia. “Saya juga akan minta, mana-mana lelaki yang menggunakan khidmat wanita-wanita ini dihukum setimpal.”

Kebanyakan negara hanya ada hukuman penjara bagi pedagang manusia.

Aktivis memberitahu bahawa perdagangan berlaku terutama di tempat-tempat di mana kemiskinan, konflik bersenjata dan lain-lain tribulasi membawa wanita lari meninggalkan kampung halaman mereka. Sindiket-sindiket menyeludup mereka ke negara lain, di mana mereka akhirnya sering lakukan kerja seks atau berada di ’sweatshops’.

Jaspal Kaur Bhatt, seorang pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Mara, berkata, anggaran menunjukkan bahawa 75 peratus mangsa perdagangan seks telah dipaksa melacur.

Negara-negara perlu undang-undang yang lebih baik bukan hanya menghukum pedagang, tetapi mencegah rasuah kalangan pegawai polis, pegawai-pegawai keselamatan dan imigresen, katanya.

Seruan wanita itu menerima sokongan daripada Sultan Azlan Shah, Perak. Malaysia mesti mengadakan undang-undang bagi melindungi mangsa-mangsa perdagangan manusia, katanya.

Sultan Perak yang juga merupakan bekas presiden mahkamah persekutuan, menambah: “Undang-undang tersebut perlu mengenakan hukuman yang adil ke atas pedagang, sementara para mangsa perlu diberi perlindungan yang sewajarnya...Tanpa undang-undang yang menyeluruh ini, mangsa akan diperlakukan seperti penjenayah.”

Menurut International Labour Organisation, buruh paksa, termasuk eksploitasi seksual, ialah industri bernilai US$31 bilion (S$53 bilion). - AP

http://www.malaysia-today.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home