Wanita Semasa

Redhalah Jika Hidup Bermadu

Tulisan: Norzaimah

Kepada golongan isteri khasnya dan seluruh muslimat yang belajar untuk meletakkan penggantungan, harapan dan perasaan terhadap Allah semata-mata. Inilah maksud sebenar daripada kalimah 'Laa Illaha Illallah' (boleh rujuk kepada buku tulisan Dr Yusuf Qaradhawi bertajuk Masyarakat Islam yang Diidamkan, m/s 13). Ini merupakan tunggak dan sumber kekuatan yang membantu kita menghadapi apa sahaja dugaan yang Allah takdirkan untuk kita di dunia yang sementara dan tidak seindah mana.

Apabila ikatan kehambaan kita terhadap Allah sudah kuat, maka segala hukum dan takdir-Nya akan kita terima dengan hati terbuka dan penuh reha. Kita terima segala yang datang daripada-Nya walaupun nafsu amat kuat menentangnya. Dalam menjalankan tanggungjawab kita sebagai isteri umpamanya, kita harapkan secara mutlak bukan keredaan suami semata-mata tetapi paling keredaan Allah.

Mungkin kita berasa bahawa suami kita tidak layak untuk mendapat khidmat setia kita kerana lumrahnya, apa yang jelek pada suami kita itulah yang kita nampak lebih. Tetapi, kalau kita melakukan tanggungjawab kita hanya kerana Allah, walau berat rasanya, mudah-mudahan akan terasa kebahagiaan, hasil keikhlasan perbuatan kita itu.

Begitu juga jika ditakdirkan kita hidup bermadu, poligami hukumnya halal. Jika kita tidak mempunyai ilmu yang cukup seperti seorang mufti layak untuk memberi fatwa, maka kita tidak boleh mengharamkan perkara yang halal itu. Memang pun orang boleh kata 'cakap senanglah, tak rasa sendiri, mana tahu pedihnya'. Itu tidak kita nafikan.

Sekurang-kurangnya, jika orang sedang dilanda "drama poligami" ini mendengar, mudah-mudahan akan terdetik di hatinya walau sesaat akan pentingnya dia kembali kepada Allah. Biar orang lain yang belum atau tidak mengalami drama ini, akan juga faham betapa pentingnya belajar untuk menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.

Pokok pangkalnya, kita kena renung diri kita sendiri. Yang penting, lihat betapa dalam atau cetek ilmu agama kita. Kita berusaha untuk menambah ilmu, dan usaha ini tidak sepatutnya berakhir selagi roh masih berada di dalam jasad. Jika suami tidak mampu membimbing kita, adalah menjadi kewajipan kita untuk mencari ilmu itu sendiri. Insya-Allah, jika kita teguhkan niat, Allah akan memudahkan usaha kita.

Ilmu akan membimbing kita untuk mengukuhkan hubungan dengan Allah, kepada-Nya kita mengadu nasib dan kepada-Nya kita berkhidmat. Insya-Allah, jika kita jaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan sesama makhluk juga akan beres secara automatik. Usahlah kita sibuk memperjuangkan hak keduniaan jika hak Allah sebagai Tuan masih lagi diabaikan.

(Saya tidak maksudkan di sini bahawa kita hanya perlu berserah sahaja tanpa berusaha untuk mengubah nasib. Yang saya tekankan pengukuhan hubungan dengan Allah dan jika ini dapat dicapai, segala yang lain akan datang sekaligus. Jadi, jika kita berusaha untuk mengubah nasib, lakukan dengan berpandukan batasan-batasan yang Islam tetapkan.)

Wallahua'lam. Wassalaamu'alaikum.

www.wanitakini.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home