Wanita Semasa

Derita Nor Fatin Najwa

Oleh Siti Zahra

Kisah kanak-kanak malang lima bulan, Nor Fatin Najwa Mohd Rashidi dipotong kaki kanan kerana kanser. Lebih menyedihkan apabila ususnya terpaksa dikeluarkan kerana sistem pembuangan air tidak berfungsi. Terkesan hati, Wkini menghubungi bapa Nor Fatin, Mohd Rashidi, 40, di Kepala Batas Seberang Perai Utara dengan harapan Wkini dapat mengumpul sedikit sumbangan bagi menampung kos rawatan anaknya.


Warga Kedah, loghat utara Rashidi pekat ketika berbual. Ternyata bapa kepada sembilan anak ini tabah menghadapi dugaan Tuhan. Biarpun mata tidak sanggup memandang, bahu tidak terdaya memikul beban, manakala tangan tidak sanggup melakukan rutin harian menjaga Fatin setiap hari namun dalam kepayahan Rashidi terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi anak tercinta.

Tidak tahu jantina
Ketika dilahirkan pada 13 Mei 2005 di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang doktor mengesahkan Fatin menghidap ketumbuhan pada sebelah kaki kanan. Keadaan Fatin kritikal sehinga doktor tidak dapat mengesahkan jantina anaknya. Fatin kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak Hospital Besar Alor Setar untuk mendapatkan rawatan. Doktor mengesahkan kaki kanan Fatin terpaksa dipotong bagi mengelak sel barah merebak ke bahagian lain.

“Hancur luluh hati saya mendengar penjelasan doktor. Terbayang wajah kecil Fatin tanpa kaki kanan. Bagaimana kehidupan di kemudian hari? Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Apabila memikirkannya saya tidak sanggup memberi kebenaran tetapi setelah memikirkan masak-masak demi keselamatan Fatin saya merelakannya,” kata Rashidi sayu.


Selepas dipotong kakinya, hari kelima barulah doktor mengesahkan jantina Fatin, tetapi usus Fatin terpaksa diletakkan di luar kerana sistem penghadamannya tidak berfungsi. Bayangkan dalam usia sekecil itu apalah difahami Fatin, melainkan menangis dan Rashidi hanya merelakan doktor melakukan pembedahan walaupun sebenarnya dia tidak sanggup.

“Saya tidak sangka anak bongsu saya berpenyakit kanser. Sebelum dibedah doktor memberitahu pembedahan berisiko tinggi dan kemungkinan untuk berjaya 50-50. saya sedih mendengar kata-kata doktor. Antara mahu dengan tidak tetapi saya harus menyelamatkan nyawanya. Saya hanya berdoa dan berserah kepada Allah supaya dia selamat,” kata Rashidi.

Pembedahan berjalan enam jam bermula 10 pagi hingga empat petang. Dalam tempoh itu Rashidi serta keluarganya berada di hospital menjaga Fatin kerana isterinya masih lemah dan berpantang di rumah.

Malang dibuang kerja
Keadaan Fatin selepas pembedahan sangat kritikal. Banyak wayar bersambung ke tubuh kecilnya manakala dua paket darah ditambah. Rashidi sayu memandang wajah anaknya di ICU. Sekiranya boleh ditukar kesakitan kepadanya Rashidi sanggup melakukannya. Selepas 21 hari Fatin dibenarkan pulang namun masih banyak rawatan susulan terpaksa dilakukan. Bertambah malang apabila Rashidi dibuang kerja kerana sering bercuti. Puas sudah Rashidi merayu namun tidak dilayan majikan.

“Hancur luluh jantung saya apabila dibuang kerja, tetapi saya faham mengapa majikan melakukannya. Memikirkan duit rawatan yang semakin bertambah, buntu saya dibuatnya. Mujur isteri saya bekerja dapatlah dia menyara keluarga,” katanya.

Di rumah Rashidi mengambil alih tugas isteri menjaga Fatin dan lapan anak lain memandangkan isterinya Hasiah Lazim, 40, masih lemah selepas melahirkan anak. Rashidi menguruskan rumah tangga daripada membasuh, memasak, mengemas dan menjaga Fatin. Rutin harian Rashidi bermula seawal jam enam pagi dia menghantar isterinya ke tempat kerja, selepas itu menghantar anak ke sekolah. Selepas pulang Rashidi memandikan Fatin dan membersihkan usus anaknya. Setiap hari usus Fatin terpaksa dicucuk dengan lilin bagi mengeluarkan najis jika tidak pasti tersumbat.

Fatin bersama ayah, ibu, abang dan kakak-kakaknya“Setiap kali lilin dicucuk ke usus Fatin dia pasti menangis, selepas memujuk saya menyambung semula sehinggalah ususnya bersih. Jika tidak penyakitnya bertambah teruk. Saya pernah meminta isteri melakukannya tetapi dia tidak sanggup dan menangis,” katanya sayu.

Kesan daripada pembedahan Fatin tidak boleh mengawal pembuangan najis. Dalam masa 24 jam dia membuang najis bila-bila masa sahaja. Sebab itu pampers sentiasa ditukar setiap satu jam sekali. Selepas memandi dan menidurkan Fatin barulah Rashidi menyambung semula tugasnya.

Rashidi bersyukur walaupun menderita Fatin tidak merengek atau banyak masalah seperti kanak-kanak lain. Pada hari-hari biasa dia ketawa apabila diagah. Ketika ini dia sudah boleh meniarap dan merayap di dalam rumah.

“Melihatkan perkembangan Fatin saya dan isteri bertambah sayu apatah lagi memikirkan masa depannya kelak. Sekiranya penyakit Fatin boleh ditukar mahu sahaja saya menggantikannya tetapi apakan daya Tuhan lebih berkuasa,” katanya.

Sekarang Fatin perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Alor Setar. Setiap bulan Rashidi berulang-alik daripada Seberang Perai ke Alor Setar menaiki bas sambil mendukung Fatin menempuh perjalanan lebih dua jam untuk sampai ke hospital. Bayangkan kesusahan yang terpaksa dilalui Fatin. Kadang-kadang ada hamba Allah yang sudi menumpangkan Rashidi menghantar Fatin ke hospital.

Fatin perlu mendapatkan rawatan kerana sel barah sentiasa aktif. Pada 4 Oktober doktor memberitahu ada dua ketumbuhan di badan dan pinggang Fatin. Doktor mengarahkan Rashidi membawa Fatin bertemu pakar barah.

Ketika pembedahan pertama Rashidi hanya mengeluarkan separuh daripada kos semuanya RM2,000. Manakala pembedahan kedua ditanggung Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi untuk sekali sahaja.

Masih banyak pembedahan susulan yang perlu dilakukan. Memikirkan perkara itu Rashidi buntu memikirkan kos pembedahan anaknya. Berapa sangatlah gaji diterima daripada isterinya sedangkan dia tidak bekerja. Justeru Rashidi berharapa agar ada insan mulia sudi menghulurkan bantuan meringankan beban Rashidi dan keluarga.


Bagi yang ingin menghulurkan bantuan Rashidi boleh dihubungi di talian 019-4023596 atau datang sendiri ke di 4445, Paya Keladi Hujung, Kepala Batas, Seberang Prai Utara atau boleh memasukkan wang ke akaun Public Bank Mohd Rashidi 4915303305.

www.wanitakini.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home