Wanita Semasa

Bertemu Isteri Nik Aziz

Cita-cita saya hendak bertentang mata dengan Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri Menteri Besar Kelantan tercapai juga. Agenda pertemuan itu saya letakkan paling utama sehinggakan saya rasakan tidak dapat bertemu Mawi (yang sedang berada di Kota Bharu ketika itu) pun tidak mengapa. Hendak dengar sendiri suara dan jawapannya. Sila rujuk column Personaliti.

Ternyata beliau wanita hebat, penuh kesabaran dan kepercayaan pada suaminya. Bayangkan suami tidak menghubunginya seminggu, tanpa khabar berita, hati menerima penuh redha. Atas dasar percaya yang tidak berbelah bahagi dan merestui langkah suami yang dia pasti hanya berdakwah demi agama.

Tetapi terdetik di hati yang penuh prasangka, 'bolehlah dia berperasaan begitu, suaminya Nik Aziz - ulamak tersohor.' Kita pula hanya bersuamikan orang biasa, jadi memang kita penuh syak wasangka. Sebenarnya itulah yang tidak eloknya sikap kita. Kita sepatutnya bersangka baik dan percaya 100 peratus suami kita. Tentu ramai yang menjawap, jika tidak kerana lelaki yang menodai segala kepercayaan yang telah kita letakkan, tentu sejak dulu lagi wanita tidak punya rasa cemburu barang sepicing pun. Kerana cemburu itu tanda sayang.

Tuan Sabariah juga ternyata meletakkan cinta tidak berbelah bagi pada suaminya tetapi dia juga meletakkan kepercayaan bulatnya di situ. Bolehkah kita mencontohinya? Tepuk dada, tekadkan usaha.

Di bulan penuh keberkatan ini marilah kita sama-sama mempertingkatkan usaha menambah pahala. Maafkan segala kesalahan saya. Walau hati sendiri terluka, tidak mengapalah saya menjadi mangsa. Bagi yang tidak terbalas lagi emel mereka, jangan berkecil hati, Insya-Allah, kita akan berbicara di ruang maya lagi. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

kusyihirdan@gmail.com
www.wanitakini.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home