Wanita Semasa

Suami Tak Sedar Dek Untung

Tulisan: Putrapilu@gmail.com

Hari raya baru-baru ini penulis berpeluang bertemu ramai kawan-kawan lama di kampung. Masing-masing bertanya khabar, tanya anak berapa, rumah sendiri atau rumah sewa, kereta satu ke dua. Begitulah lelaki, jangan ingat perempuan saja begitu. Itu pertanyaan terus terang dan cakap kuat-kuat depan orang ramai. Ada juga persoalan yang ditanya berbisik-bisik. Contohnya, bini kau satu ke dua? Kita jawab satu, dia tanya - kenapa? Kalau teringin menambah cawangan (dan beban), hubungilah dia. Hah, tu dia, kata orang Kedah. Naik segan pun ada. Tetapi angguk dan senyum saja. Bukan takut mem dengar tetapi takut kawan lama saya tadi ingat saya berminat.

Sempat bersembang dengan sepupu yang menceritakan tentang adik perempuannya, seorang doktor di bandar terdekat. Kerana cinta adik perempuannya, J sanggup menanggung semua perbelanjaan kahwin dulu. Suaminya itu baru pulang luar negeri, kerja baru hendak cari. Jadi duit belum penuh poket. Si suami pula bukan anak orang berada, orang kampung saja yang bapanya posmen pencen. Semuanya J tanggung. Duit kenduri sebelah lelaki dia yang beri. Hantaran diri sendiri juga dia yang cari. Duit kursus kahwin dia yang langsaikan. Orang sebelah lelaki mahu datang berbas-bas, J juga yang bayar beribu untuk sewa bas segala. Cincin bertunang, rantai batal air sembahyang juga dibelinya sendiri. Punyalah J sanggup berkorban dan merahsiakan perkara ini daripada keluarganya. Patutnya suaminya bertuah dapat isteri yang murah hati dan tidak kedekut seperti isteri Nabi Muhamad, Siti Khadijah itu.

Namun itulah, nasib J sungguh malang. Walau kasihnya pada suami penuh membara. Selepas berkahwin dibelinya kereta untuk kemudahan suami mencari kerja. Pakaian baru berjenama juga penuh almari mereka. Lima tahun berkahwin, satu kerja pun tidak sangkut lagi. J terus setia.

Semoga pengorbanan J dibalas Allah dengan syurga abadi kelak. Tanpa dia sedar, suami rupanya penagih dadah. Begitu pandai suami bersandiwara, isteri doktor pun terpedaya. Mungkin kerana cinta sudah mengaburi mata. Suami tertangkap dan dia memaksa J berusaha melepaskannya. Kata J, eloklah abang masuk pusat, biar mereka ubat. Kerana marah tidak terhingga, suami melepaskan talak tiga kepada J yang setia.

Inilah kisah hari raya lepas yang cukup menyedihkan saya.

Kepada lelaki, kenapalah begitu.

www.wanitakini.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home