Wanita Semasa

Barat membela atau melacurkan wanita?

ISKANDAR Z – penulis lelaki yang prihatin tentang nasib dan pelabelan terhadap wanita sejagat. Beliau memperkatakan tentang Stereotaip wanita Muslim dan realiti dunia Barat.

Sejauh manakah benarnya tanggapan popular ini? Tanggapan Media barat dan media berbahasa Inggeris di negara kita, yang meletak imej stereotaip wanita Muslim sebagai kumpulan yang tertindas. Tanggapan ini hampir tidak dapat diubah lagi. Terutamanya semasa keburukan pemerintahan Taliban di Afghanistan dipersembahkan dengan berleluasa di media – dan pencabulan terhadap wanita di Darfur, Sudan – penindasan terhadap wanita kelihatan seperti satu bahagian penting agama Islam.

Jika dilihat di kedai–kedai buku popular di negara kita, kita akan menemui satu bahagian yang menempatkan buku khusus di bawah tema “penindasan terhadap wanita di dunia Muslim,” seperti Not Without my Daughter, My Feudal Lord dan banyak lagi. Kesemuanya menceritakan satu isu yang dilihat sebagai satu masalah besar membelenggu dunia Muslim; penindasan terhadap wanita.

Sebenarnya, berita dan buku seperti yang dilihat di kedai–kedai buku itu, yang menyumbang kepada salah faham berleluasa ini, hanya menceritakan sebahagian kecil (dan contoh terburuk yang dicari pada masa ini) sahaja realiti penindasan dan eksploitasi terhadap wanita di dunia. Sejarah dunia Muslim, sekiranya dilihat dengan jujur, akan menunjukkan banyak bukti yang menunjukkan kepalsuan stereotaip itu.

Kehidupan Nabi Muhammad SAW merupakan sumber terbaik untuk mencari bukti tersebut. Sekiranya layanan yang baik terhadap wanita disifatkan sebagai nilai progresif pada hari ini, Muhammadlah orang yang memulakan dasar progresif ini, walaupun dituduh sebaliknya oleh fanatik Kristian dan sebahagian orientalis Barat. Selain menghentikan praktis zalim terhadap wanita pada zamannya, Baginda telah mengangkat taraf wanita pada zamannya. Isteri–isteri Baginda, terutama Aisyah RA merupakan salah seorang penyebar ilmu penting di kalangan komuniti Muslim pada masa itu. Sahabat–sahabat Baginda, yang juga terdiri daripada mereka yang berilmu tinggi, turut menerima ilmu daripada Aisyah. Ini menunjukkan, wanita pada zaman Muhammad dapat mencapai status sosial yang tinggi melalui ilmu yang mereka miliki, sesuatu yang mengambil masa yang sangat panjang untuk berlaku di dunia Barat.

Pada zaman itu juga, isteri pertama Baginda, Khadijah, telah pun muncul sebagai seorang ahli perniagaan, yang menjadi pemilik hartanya sendiri. Ini juga mengambil masa ratusan tahun sebelum menjadi realiti di Barat. Ketika zaman kegemilangan empayar Islam di Timur Tengah, wanita di Barat masih belum lagi dibenarkan memiliki harta, apatah lagi menguruskan perniagaan sendiri.

Satu contoh menarik untuk diperhatikan ialah, wanita Inggeris hanya dapat memiliki harta sendiri sepenuhnya bermula pada tahun 1870, melalui kelulusan Akta Harta Wanita Berkahwin, sedangkan wanita Muslim sudah pun menikmati hak itu sejak kurun ke–7. Dalam satu peristiwa pada tahun 1716, Lady Mary Wortley Montagu, isteri duta British ke Turki yang ketika itu dibawah pemerintahan kesultanan Uthmaniyyah kagum dan terkejut melihat bagaimana wanita di negara Muslim itu bebas memiliki harta dan perniagaan sendiri.

Isu wanita sebagai pemimpin (yang dipilih oleh rakyat) yang sering menjadi isu penting dibincangkan golongan feminis juga telah dibuktikan palsu oleh sejarah. Pengiktirafan terhadap status wanita itu dapat dilihat menjadi realiti di beberapa negara Muslim hari ini. Dua negara termaju Barat, Amerika Syarikat (negara yang disebut sebagai pemimpin dunia Barat) dan Jerman (negara terbesar dalam Kesatuan Eropah) belum lagi mengundi wanita sebagai pemimpin, sedangkan ini telah pun berlaku di negara Muslim terbesar di dunia; Indonesia, dan sebuah negara Muslim mundur; Bangladesh. Walaupun ini tidak menceritakan sepenuhnya realiti taraf wanita di negara terbabit, ia memberikan satu tanda positif melibatkan kedudukan wanita di dunia Muslim.

Media popular jelas menunjukkan tuduhan Barat adalah palsu. Imej wanita dieksploit seolah-olah satu definisi dunia Barat. Hampir tidak ada media dari Barat yang terlepas daripada fenomena ini. Majalah, media elektronik dan paling utama Internet, membuktikan Barat menjadi peneraju utama pencabulan terhadap wanita di zaman ini, walhal mereka sibuk menentang membuat penentangan terhadap penindasan wanita di dunia Muslim.

Produk hiburan salah satu contoh eksplotasi wanita sebagai sesuatu yang hampir tidak boleh dielakkan lagi. Di seluruh dunia, boleh dikatakan semua remaja mengenali Britney Spears dan imej yang dibawanya.

Stereotaip yang diperlihatkan sebagai realiti dunia Muslim jelas sekali tidak benar, kerana stereotaip yang sama juga boleh dikemukakan sebagai realiti dunia Barat. Berdasarkan realiti hari ini, Baratlah yang lebih perlu memperbaiki status wanita mereka. Pemakaian tudung oleh wanita Muslim semakin banyak diakui wanita Barat sebagai memberikan kebebasan, bertentangan dengan obsesi terhadap kecantikan di Barat sehingga memudahkan wanita diukur dari sudut fizikal semata-mata. Ramai wanita Barat telah mengakui, pakaian menutup aurat akan membolehkan penilaian ditumpukan kepada ilmu dan kebolehan mereka, dan bukan kecantikan luaran.

Kempen memburukkan Islam dan umat Muslim ini menunjukan kesilapan dunia Muslim diperbesarkan sebagai salah satu medan perang budaya yang berlangsung di zaman ini. Barat mengatakan mereka peneraju segala nilai baik dan benar. Pembebasan wanita hanyalah satu bahagian kecil daripada perang ini. Ini bagaimanapun tidak bermakna dunia Muslim terlepas daripada sebarang kesalahan. Ketinggian taraf wanita yang dibawa oleh Nabi Muhammad kini telah hilang daripada genggaman dunia Muslim. Mesej penting Muhammad yang menjadi satu agenda penting di zaman Baginda, tidak terlaksana pada zaman ini sehingga melemahkan umat Muslim.

Mesej mengenai wanita itu seolah-olah dilupakan Muslim hari ini, terutama kelompok yang mengamalkan dasar tidak progresif. Kealpaan dunia Muslim telah membolehkan dunia Barat mendakwa mereka menerajui perjuangan wanita, sedangkan sebenarnya dalam banyak kes, isu ini hanya dijadikan alat politik untuk memburuk-burukkan Islam. Perjuangan pembebasan wanita tidak boleh dimonopoli mana-mana pihak.

Di banyak tempat, dapat dilihat ketidakadilan ini. Pendidikan untuk wanita masih sukar diperolehi di banyak negara Muslim. Di Arab Saudi, negara tanah kelahiran Nabi Muhammad, yang menjadi destinasi Muslim seluruh dunia menunaikan ibadah haji, taraf wanita masih sangat rendah sehingga tidak dibenarkan mengundi dan memandu kenderaan. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh Muslim seluruh dunia untuk mengembalikan kegemilangan ini, yang pernah kita terajui suatu masa dahulu. Hanya dengan memperbaiki kesilapan ini, umat Muslim dan agama Islam akan bebas daripada tuduhan palsu ini, dan dapat kembali meneruskan sunnah yang dimulakan Baginda lebih 1400 tahun lalu.

www.wanitakini.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home