Wanita Semasa

Antara Kasih Ibu Dan Isteri Bermasalah

Oleh nurqush

Setiap ibu inginkan anak-anak mereka hidup bahagia setelah berumah tangga. Oleh itu mereka akan sentiasa memberi perhatian terhadap rumah tangga anak menantu terutama apabila timbul sebarang masalah. Sayangnya sesetengah anak menantu tidak berkenan sikap mentua yang berlebihan dengan alasan mereka boleh menguruskan sendiri rumahtangga mereka.

Tidak dinafikan setengah ibu masih mengambil berat masalah anak-anak mereka setelah bernikah terutama apabila anak itu menjadi kesayangannya.

Tetapi bagaimana jika sikap mengambil beratnya berlaku kerana isteri yang diharap menjaga makan minum dan memberi kasih sayang kepada anak lelakinya pula tidak memenuhi tanggungjawab sebagai isteri?

Mungkin tidak banyak wanita mengakui hakikat ini tetapi dalam keadaan pembangunan yang mendadak di negara ini, kebanyakan wanita bekerjaya gagal memenuhi tanggungjawab mereka di rumah sepenuhnya.

Kehidupan Azhar Ismail (bukan nama sebenar) bersama Hani Hassan (bukan nama sebenar) memang mencukupi dari segala sudut.

Rumah besar, kereta mewah dan kerjaya baik semuanya tergenggam dalam tangan. Kekurangan mereka hanyalah cara hidup bersuami isteri yang ada kalanya tidak ketentuan.

Rumahtangga yang dibina hampir empat tahun lalu tidak memberi apa-apa makna kepada Azhar dan Hani kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

Ibu Azhar, Hasnah Hashim (bukan nama sebenar) turut merasakan suasana dingin dalam rumah tangga anaknya.

"Kamu nak cari isteri biar yang boleh berikan masa untuk rumah tangga kami, jangan asyik kerja sahaja. Calon isteri kamu itu nampaknya macam tak ada bakat di ceruk dapur apatah lagi nak uruskan rumah tangga," pernah Mak Cik Hasnah mengingatkan anaknya itu.

"Tak apalah mak... setelah bernikah nanti tahulah dia menguruskan rumahtangga kami," Azhar membela Hani.

Kini setelah bernikah barulah Azhar merasakan bahangnya. Sejak mereka bernikah tidak sampai sepuluh kali Hani memasak di rumah, jauh sekali untuk membasuh atau menggosok pakaian Azhar.

Sekali dua bolehlah dimaafkan jika Hani tidak ada masa, ini tidak, kesemua pakaian mereka dihantar ke kedai dobi, mudah kata Hani. Mujurlah mereka tidak mempunyai anak, itupun kerana Hani berpendapat dia tidak mahu membuang masa untuk menguruskan anak sebelum dia mencapai cita-citanya untuk menjadi wanita korporat yang berjaya.

Demikianlah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan rumah tangga Azhar. Rupanya ibu Azhar memandang serius perkara ini. Setiap kali dia datang jarang dapat berjumpa menantunya. Alasan yang diberikan Azhar, Hani kerja luar, ada meeting dan sebagainya.

Tinggallah orang tua itu memasak untuk anaknya dan mengemas rumah. Kata orang, kasih ibu membawa ke syurga memang benar kerana betapa penat pun seorang ibu itu masih ada waktu untuk memasak, mengemas dan memasak untuk anaknya walaupun anak itu telah besar panjang dan mempunyai isteri.

"Kan aku dah cakap dulu, kamu degil. Isteri kamu tidak tahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. Asyik keluar rumah sahaja, bila masanya kamu berdua berbual dan berbincang soal rumah tangga kamu?

"Mak bimbang masalah ini akan berlarutan. Mak kasihankan kamu, tinggal seorang diri dalam rumah. Kalau ada anak itu lainlah, ini tidak, balik-balik tengok televisyen," leter ibu Azhar.

"Apa nak buat mak, sudah takdir jodoh saya macam ini, kena sabar sahajalah," balas Azhar.

"Sabar pun biar ada batasnya, kalau sampai nak menghancurkan masa depan kamu buat apa. Kamu lelaki dan kamu tu suami. Hak kamu ada untuk bertindak," tambah ibunya.

Azhar terdiam. Memang dia telah mula memikirkan perkara ini. Dia tahu Hani tidak seperti wanita lain, dia lebih mementingkan kerjaya daripada rumahtangga.

"Mak sudah jemu dengan alasan kamu. Kalau kamu tidak menasihati isteri kamu dan bertindak tegas supaya dia merubah sikapnya, mak tidak akan datang lagi ke rumah ini.

"Mak kasihankan kamu jadi macam tunggul dalam rumah ini. Isteri kamu keluar ke hulu ke hilir dengan lelaki lain. Orang pun cari makan juga tetapi tidaklah sampai lupa suami dan rumah tangga," sindir ibunya.

Demikianlah juga yang difikirkan Azhar sejak kebelakangan ini. Hari demi hari, tabiat buruk Hani semakin ketara. Pantang ditegur dia akan melenting, tidak cukup dengan itu dia mengamuk sakan.

"Selama ini abang tidak pernah tegur Hani, sekarang baru nak tegur, kenapa, mak abang yang hasut abang?" jerit Hani.

"Hani jangan tuduh mak abang macam itu sekali. Dia orang tua. Berapa kali Hani jumpa dan layan dia di rumah ini sejak kita kahwin?

"Setiap kali dia datang Hani kerja luar, meeting dan macam-macam lagi alasan. Orang tua itu juga yang memasak, mengemas. Inikah gaya dan lagak seorang menantu terhadap mentuanya?" Azhar meninggikan suara.

Hani terkejut dengan perubahan Azhar, selama ini dia tidak pernah berkeras dengan Hani, apa sahaja kata Hani dia mengikut sahaja.

"Baiklah. Sekarang abang ingin beritahu Hani yang abang sudah jemu dengan telatah Hani. Abang mahu Hani berubah. Kalau selama ini abang diamkan diri sekarang tidak lagi. Hani mesti mengikut cakap abang. Kalau tidak, tidak ada gunanya kita hidup sebagai suami isteri lagi, tegas Azhar berkata.

Walaupun terkejut Hani tidak menunjukkan reaksinya. Malah dia mencabar Azhar supaya bertindak jika dia tidak berubah. Berdesing telinga Azhar dibuatnya.

Kalau abang cakap macam itu, Hani terima cabaran abang. Hani tetap dengan cara Hani. Kalau abang tak boleh tahan dan cuba nak kawal pergerakan Hani, abang boleh buat keputusan. Abang panggillah mak abang untuk menjaga abang di sini. Hani boleh keluar," Hani berkata menunjukkan kedegilannya.

Terpinga-pinga Azhar dibuatnya. Beginikah caranya seorang isteri bercakap dengan suami? Azhar lalu teringat pada kata-kata ibunya. Kini segala larangan dan nasihat ibunya dulu berputar semula di minda.

Biar apa pun dia harus menerima hakikat Hani bukan isteri yang perlu dipertahankan. Kali ini Azhar nekad. Dia memikul semua tanggungjawab dan tingkah laku isterinya itu.

Apa nak buat, jika ditakdirkan jodohnya dengan Hani hanya setakat itu, maka dia menerimanya dengan reda, biarpun kasih sayang terhadap wanita itu tidak pernah pudar.

"Saya nekad tuan, jika dia tidak berubah juga, saya akan membebaskan dia. Sekarang ini dia langsung tidak hormatkan ibu saya, jauh sekali untuk mendengar cakap saya sebagai suami.

"Dia terlalu asyik dengan dunia korporatnya sampaikan saya di rumah menjadi seperti tunggul mati. Dia keluar masuk sesuka hati dan pergaulannya juga terlalu bebas sekarang," Azhar bercerita kepada kadi.

"Apa kata jika dia dipanggil untuk bersemuka dengan saudara, manalah tahu jika dia mahu berubah. Saya boleh membawa kes ini kepada pihak kaunseling supaya isteri saudara boleh dinasihati," kadi membuat cadangan.

"Semuanya sudah saya lakukan, tetapi hasilnya tidak nampak langsung. Dia semakin bengis dan angkuh. Saya rasa susah untuk membentuk dia semula setelah begitu lama saya memberi kebebasan kepadanya. Dia juga sanggup mencabar saya dan ibu saya tuan, wanita macam ini rasa saya tidak akan berubah, lagipun sekarang dia sudah keluar rumah dan tinggal bersama kawan-kawannya," jelas Azhar.

Kadi menggeleng-gelengkan kepala dengan wajah yang berkedut. Jarang berlaku kes seperti ini tetapi dia amat bersimpati dengan Azhar.

"Kalau macam itu baiklah, saya akan failkan kes saudara untuk pertimbangan. Bagaimanapun saya amat berharap saudara akan memikirkan semula masalah ini semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan muktamad," nasihat kadi.

Demikianlah berakhirnya kebahagiaan yang dikecapi oleh Azhar dan Hani. Panas yang diharapkan sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Azhar sedar semua itu salahnya sendiri terlalu memanjakan isteri, akhirnya diri sendiri yang tersepit.

Memikirkan ini Azhar insaf, lebih baik mencari isteri yang tidak berpelajaran asalkan pandai mengambil hati suami daripada beristerikan wanita berpelajaran yang hanya mementingkan kerjaya dan kehidupan sosial yang berlebihan.

Bagi golongan ini suami, anak dan rumah tangga mungkin di tempat kedua,
wallahualam!

www.raudhah.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home