Wanita Semasa

She’s Fit Gimnasium Khusus Untuk Wanita

Oleh Halina Mohd Noor (Berita Harian)

INGIN ke gimnasium tetapi malu untuk bercampur dengan lelaki? Apa kata anda ke gimnasium khusus untuk wanita saja iaitu She’s Fit yang terletak di The Boulevard, Mid Valley City. Di sini anda bebas bersenam tanpa perlu bimbang dengan kehadiran kaum bukan sejenis.

She’s Fit diasaskan oleh Haniza Mokhtar pada November 2004 demi memenuhi keperluan kebanyakan wanita di negara ini yang ingin bersenam di gimnasium.

“Di She’s Fit, lelaki tidak dibenarkan masuk kerana ia khusus untuk wanita saja. Jurulatih gimnasium juga adalah wanita bagi membolehkan anda bergerak bebas di sini. Kebanyakan wanita ingin bersenam tetapi terdapat halangan yang menyebabkan mereka tidak dapat melakukannya. Selain sibuk, ramai yang malu untuk mengenakan pakaian bersenam. Bagi mengatasi masalah ini, She’s Fit ditubuhkan,” katanya.

She’s Fit ditubuhkan berdasarkan pengalamannya ketika menuntut di Universiti Northeastern, Boston pada 1995. Pada masa itu, Haniza mendapati kebanyakan pelajar bersenam di pusat kecergasan universiti berkenaan. Manakala dirinya sendiri tidak pernah lagi bersenam sejak berhenti bermain hoki ketika di bangku sekolah dulu.

Beliau akhirnya mengambil keputusan menyertai mereka dan tidak lama kemudian menjadi ahli pusat kecergasan berkenaan.

“Bersenam membantu saya mengawal berat badan disamping memberikan lebih tenaga untuk belajar di siang hari,” katanya.

Selepas tujuh tahun menyertai pusat kecergasan berkenaan, timbul idea dalam mindanya untuk membuka sebuah pusat kecergasan apabila pulang ke tanah air kelak.

“Kami membawakan konsep kecergasan baru untuk wanita ke Malaysia yang sudah menjadi amat popular di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah. Pusat ini menyediakan gimnasium yang selesa, suasana khusus untuk wanita sebagai pilihan berbanding gimnasium biasa. Pusat kecergasan wanita kini adalah sektor yang berkembang maju dalam industri kecergasan berbanding di negara ini yang masih baru. She’s Fit terbuka kepada semua wanita pelbagai peringkat usia yang inginkan gaya hidup sihat terutama mereka yang sentiasa sibuk kerana kami menawarkan perkhidmatan berkualiti demi kesihatan wanita,” katanya.

Lebih istimewa, She’s Fit dilengkapi peralatan Express Circuit direka khas untuk wanita dan diimport terus dari Amerika Syarikat. Peralatan bersenam itu mudah digunakan dan menjimatkan masa berbanding peralatan gimnasium konvensional. Peralatan itu berfungsi dengan bantuan mesin hidraulik latihan-tenaga yang merangkumi stesen aerobik.

“Kami adalah pusat kecergasan pertama yang memperkenalkan peralatan hidraulik di pasaran. Ia berfungsi umpama dua mesin dalam satu yang diubahsuai mengikut penggunanya. Ini bermakna ia mudah digunakan dengan pengurangan bengkak pada otot atau kecederaan lain. Sepanjang 30 minit program latihan, ahli kelab akan berpindah dari satu stesen ke stesen lain bagi mendapatkan senaman lengkap. Dalam masa setengah jam, anda akan membakar 500 kalori dengan cara selamat,” katanya.

She’s Fit turut menyediakan kelas yoga di bawah tunjuk ajar Norhafizah Mohd Ali yang berpengalaman selama lapan tahun sebagai perunding yoga di syarikatnya, Anggun Timoer. She’s Fit dibuka dari 7 pagi hingga 9 malam dari Isnin hingga Jumaat dan 9 pagi hingga 3 petang pada Sabtu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home